Komunikasi Atas Talian - Penyambung Hayat Yang Kritikal

.
Tiada siapa pernah menyangka bahawa di zaman moden pasca Perang Dunia Kedua ini, dunia akan dilanda dengan satu kemelut global hingga mengakibatkan seluruh masyarakat dunia terkesan.

Itulah yang berlaku apabila Wabak Covid19 merebak ke seluruh pelusuk bumi baru-baru ini. Secara tiba-tiba kegiatan harian terhenti, manusia berkurung di rumah, dan dunia menjadi sunyi sepi seakan-akan telah mati.

Mujurlah dengan adanya Dunia Atas Talian, manusia masih mampu terus berhubung dan bergantung kepadanya sebagai satu saluran komunikasi bagi mendapatkan perkhidmatan atau sokongan dari pihak lain.

~~~~~

Kalau dahulu, ketika Perang Dunia Kedua, masyarakat dunia bergantung kepada teknologi radio untuk mendapatkan maklumat sehala. Kini, masyarakat dunia bergantung kepada teknologi rangkaian selular dan Internet untuk mendapatkan perkhidmatan maklumat dua hala.


Hakikatnya, Teknologi Komunikasi Maklumat atau Infomation Communication Technology, ICT, yang selama ini mungkin dianggap sebagai satu alat pilihan dalam kehidupan manusia kini telah berubah menjadi alat wajib bagi diri seseorang. Tak dapat tidak, individu itu mesti mempunyai telefon mudah-alih. Atau lebih baik lagi, telefon pintar yang turut dikenali sebagai smartfon.



Kerajaan Malaysia sendiri telah mengambil inisiatif proaktif untuk membantu mengelakkan rakyatnya dari terputus hubungan dengan menyediakan perkhidmatan data mudah-alih percuma di waktu siang. Dengan adanya perkhidmatan percuma ini, rakyat berpeluang mengakses Dunia Atas Talian dan mengikuti laporan perkembangan semasa yang disiarkan melaluinya.

Apakah setelah penularan wabak covid19 reda dan kehidupan kembali normal, manusia tidak perlukan lagi Dunia Atas Talian?

Jawapannya tidak. Pertamanya, menurut WHO, penularan wabak covid19 akan mengambil masa yang panjang untuk reda. Perhubungan melalui Dunia Atas Talian masih diperlukan sebagai saluran penyampai maklumat dan bantuan. Keduanya, apa yang disebut kehidupan normal kini sudah perlu ditakrif semula.

Kenapa perlu ditakrif semula?

Kegiatan ekonomi masyarakat seluruh dunia telah terjejas dengan teruk. Sistem pengangkutan, kesihatan, pendidikan dan sebagainya telah terhenti dan agak sukar dipulihkan seperti sebelum ini kerana akan menelan kos yang tinggi untuk mula semula atau restart. Malah, pilihan jimat kos akan menjadi keutamaan. Apa sahaja yang boleh dijimatkan, akan diusahakan. Di sinilah harapan disandarkan kepada Teknologi Maklumat.

Kini, kebanyakan perkhidmatan telah diubah kepada bentuk aplikasi atas talian kerana ia sangat menjimatkan kos. Masyarakat tiada pilihan dan terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Kelas atas talian, kuliah atas talian, permohonan bantuan atas talian dan sebagainya telah mula menjadi kebiasaan masyarakat.



Jadi, Komunikasi Atas Talian bukan lagi satu pilihan, bahkan ia satu kemestian. Kelangsungan hidup manusia boleh terjejas jika perhubungan Atas Talian tiada atau terputus.

Kita semua mesti cuba menggunakannya sebaik mungkin dan sebijak mungkin.

Post a Comment

0 Comments