Pemasaran Menolak Lawan Menarik (Push Versus Pull Marketing)


Tujuan kita melakukan kegiatan pemasaran adalah untuk membina hubungan dengan prospek.

Prospek maksudnya sesiapa sahaja yang bakal menjadi pelanggan, pengguna atau pengikut kita.

Ada dua pendekatan yang biasa dilakukan dalam usaha membina hubungan dengan prospek iaitu Menolak (Push) atau Menarik (Pull).

~~~~~

Pemasaran Menolak

Pemasaran Menolak atau Push Marketing bermaksud kita menolak konten pemasaran kita kepada prospek.

Untuk menolak konten, kita perlu mengenalpasti siapa atau di mana kumpulan sasaran itu berada dan seterusnya kita membuat perancangan untuk menolak pada ketika yang sesuai.

Contohnya kita edar risalah kepada 10 orang dan hasilnya 5 orang menghubungi kita. Ia mungkin terdiri daripada mereka yang menerima risalah atau orang lain yang mendapat maklumat dari penerima risalah tersebut.

Kelebihan Pemasaran Menolak ini ialah dari segi fokus kumpulan sasaran. Kita mempunyai fokus maka kita mudah menilai keberkesanan kempen.

Kelemahan Pemasaran Menolak ini adalah pada skop kumpulan sasaran. Apabila kita sudah menentukan kumpulan sasaran dan menghalakan konten pemasaran terhadap mereka, kita telah mengabaikan kumpulan lain yang mungkin mempunyai potensi lebih tinggi untuk respon kepada kempen kita. Kita rugi di sini.


Pemasaran Menarik

Pemasaran Menarik atau Pull Marketing bermaksud kita menarik prospek kepada konten pemasaran kita.

Untuk menarik prospek, kita perlu menyediakan konten yang dicari oleh mereka.

Contohnya kita papar risalah di papan kenyataan dan hasilnya 5 orang menghubungi kita. Mereka mungkin terdiri daripada pejalan kaki yang melintas di hadapan papan kenyataan itu atau orang lain yang tidak melintas di situ tetapi menerima maklumat dari pejalan kaki tadi.

Kelebihan Pemasaran Menarik ini ialah dari segi keanjalan skop kempen. Selagi risalah kita tertampal di papan kenyataan itu, pemasaran akan terus berjalan.

Kelemahan Pemasaran Menarik ini adalah pada fokus konten. Jika kita tidak dapat membuat jangkaan dengan tepat, contohnya konten apa yang dicari, siapa yang mencari konten itu, di mana dan bila konten seperti itu dicari, maka konten kita akan tersasar.


Subjektiviti

Pemasaran adalah kegiatan yang dinamik, sentiasa berubah dan tidak mempunyai peraturan tetap. Pemasaran Menolak dan Menarik ini juga tidak mempunyai sempadan yang jelas. Kesudahannya, kita sendiri perlu memilki daya kreatif untuk menarik perhatian manusia. Pendekatan Menolak atau Menarik ini hanyalah pemudahcara dalam perancangan.


Analisis Pemasaran

Untuk mengenalpasti pendekatan bagaimana yang sesuai untuk dilaksanakan, kita boleh melakukan analisis pra-perancangan menggunakan alat analisis seperti Business Canvas Model (BMC).

BMC akan memberi gambaran menyeluruh tentang persekitaran kita.

Melalui gambaran ini, kita akan lebih mudah merancang pendekatan Menolak atau Menarik bagi kempen kita.



























Post a Comment

0 Comments