"Dahulu saya sangat sibuk dan tiada masa untuk bersantai atau berbual. Hari ini, keadaan sudah berubah. Kami hampir tiada kerja langsung sepanjang hari. Dan jika anda datang semula ke sini beberapa tahun lagi, mungkin tiada siapa lagi yang akan berada di sini. Komputer telah membunuh kerjaya kami"
Perbualan di atas diolah semula dari rakaman temuramah wartawan BBC yang membuat liputan tentang kerjaya jurutaip di sekitar kawasan Mahkamah Tinggi Calcutta India pada tahun 2012.
Awas! Perubahan Teknologi Mungkin Akan Menjejaskan Kerjaya dan Kehidupan Anda
Perubahan pesat dalam bidang teknologi maklumat telah menghasilkan alat komunikasi canggih mampu milik seperti komputer dan telefon pintar (smartphone). Alat-alat ini memudahkan orang ramai berkomunikasi dan saling berhubung tanpa medium kertas. Kemudahan ini bagaimanapun memberi kesan buruk terhadap jurutaip. Mereka berhadapan dengan masa depan yang gelap kerana peranannya yang sudah tidak diperlukan lagi oleh masyarakat moden.
Kesan rantaian ini turut menimpa industri yang berkaitan. Sebuah kolej komersil yang turut ditemuramah oleh wartawan BBC tadi memberitahu mereka sudah membuat keputusan untuk berhenti menawarkan kelas menaip.
"Tiada permintaan (untuk belajar menaip), dan apabila saya bertanya pandangan golongan muda tentang kemahiran menaip, mereka melihat kembali kepada saya dan berkata 'apa perlunya belajar menaip?' "
Memang benar. Pada hari ini, masyarakat rata-ratanya telah membiasakan diri menggunakan telefon pintar dan komputer tanpa terlebih dahulu menguasai kemahiran menaip. Maka, kursus menaip sudah tidak relevan.
Begitulah keadaan yang berlaku kepada kerjaya menaip. Ia menghadapi zaman kepupusan akibat perubahan teknologi.
Nasib yang sama akan turut menimpa kita jika kita tidak mengikuti perkembangan teknologi dan menyesuaikan diri dengannya. Tidak mustahil suatu hari nanti peranan kita menjadi tidak relevan kerana ia boleh digantikan dengan teknologi baru yang lebih pantas dan cekap.
Ayuh berubah sebelum rebah dilanda arus perubahan teknologi!
Sumber:
http://www.bbc.com/news/business-25620755
0 Comments