[Panduan] Solat Sunat Gerhana Bulan




.

HUKUM SOLAT SUNAT GERHANA SECARA BERJEMAAH


Para fuqaha mengatakan bahawa berjemaah ketika solat gerhana adalah sunnah. Fuqaha al-Syafieyyah dan Al-Hanabilah berpendapat bahawa kedua-duanya adalah sunnah di antara gerhana bulan dan juga gerhana matahari untuk dilakukan secara berjamaah. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Bakrah R.A beliau berkata

: ‎كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَانْكَسَفَتِ الشَّمْسُ، فَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَجُرُّ رِدَاءَهُ حَتَّى دَخَلَ الْمَسْجِدَ، فَدَخَلْنَا فَصَلَّى بِنَا رَكْعَتَيْنِ، حَتَّى انْجَلَتِ الشَّمْسُ فَقَالَ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ، فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَصَلُّوا، وَادْعُوا، حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ

Maksudnya : Kami berada di sisi Rasulullah S.A.W, kemudian berlakunya gerhana matahari. Maka Nabi S.A.W pun berdiri seraya memakai rida' sehingga baginda masuk ke dalam masjid. Maka baginda pun menjadi imam solat bersama kami sehingga selesai gerhana. Lalu baginda S.A.W bersabda : Sesungguhnya gerhana matahari dan bulan itu tidak berlaku disebabkan kematian seseorang. Jika kalian melihatnya maka solatlah serta berdoa, sehinggalah tamat gerhana.

Riwayat Al-Bukhari (1040).

.

SOLAT SUNAT GERHANA BULAN




Lafaz niat:

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

"Sahaja aku solat sunat gerhana BULAN dua rakaat kerana Allah Taala."



Kaifiat:

Solat sunat gerhana boleh dilakukan sama ada secara berseorangan atau berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Khaifiat yang lebih sempurna adalah seperti berikut:

Rakaat Pertama


  1. Takbiratul Ihram.
  2. Membaca doa Iftitah.
  3. Membaca surah al-Fatihah.
  4. Membaca surah al-Baqarah atau mana-mana surah.
  5. Ruku' dan membaca tasbih kira-kira 100 ayat.
  6. lktidal serta membaca surah al-Fatihah.
  7. Membaca surah Ali-lmran atau mana-mana surah.
  8. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira 90 ayat.
  9. Iktidal.
  10. Sujud dan membaca tasbih.
  11. Duduk antara dua sujud.
  12. Sujud kembali.
  13. Berdiri ke rakaat kedua.


Rakaat Kedua


  1. Membaca surah al-Fatihah.
  2. Membaca surah al-Nisa' atau mana-mana surah.
  3. Ruku' dan membaca tasbih kira-kira 70 ayat.
  4. lktidal serta membaca surah al-Fatihah.
  5. Membaca surah al-Maidah atau mana-mana surah.
  6. Ruku dan membaca tasbih kira-kira 50 ayat.
  7. Iktidal.
  8. Sujud dan membaca tasbih.
  9. Duduk antara dua sujud.
  10. Sujud kembali.
  11. Membaca tasyahud akhir.
  12. Memberi salam.


Solat juga boleh dilakukan dengan dua kali berdiri, dua kali bacaan dan dua kali ruku' sebagaimana solat biasa tanpa memanjangkannya. Begitu juga sah dilakukan sebanyak dua rakaat dengan dua kali berdiri dan dua kali ruku' sebagaimana solat fardu Jumaat. Namun cara ini meninggalkan fadhilat kerana berlainan daripada perbuatan Nabi.


Sumber:

http://muftiwp.gov.my/ms/al-kafi-li-al-fatawi-cat/832-al-kafi-624-hukum-menunaikan-solat-sunat-secara-berjamaah

http://muftiwp.gov.my/ms/pengumuman-2018/2270-fenomena-gerhana-bulan-penuh-pada-31-januari-2018