Benarkah Bermain Mercun Hukumnya Haram?

budaya mercun ini sudah bertapak begitu lama di kalangan masyarakat Islam Malaysia, apakah kedudukannya yang sebenar?


Benarkah Bermain Mercun Hukumnya Haram?

Berdasarkan kepada banyak nas, kami mendapati bahawa hukum mercun adalah haram dan wajib dijauhi oleh umat Islam lebih-lebih lagi yang bersifat membahayakan. Antara asas dan dalil pengharaman tersebut ialah:

Pertama: Ia Amat Berbahaya


Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan

(Surah al-Baqarah: 195)

 Zahir ayat ini jelas menunjukkan agar kita jangan mencampakkan diri kita dalam perkara yang boleh merosak dan membinasakan. Antara bahaya mercun ialah:

Bahaya pada diri sendiri.
Bahaya kepada orang lain
Bahaya pada jiran tetangga
Boleh menyebabkan kebakaran dan kerosakkan harta benda.


Kedua: Memberi Mudarat Kepada Orang Lain


 Sedangkan Rasulullah SAW bersabda:



لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan.

Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)



Ketiga: Berlaku Banyak Pembaziran


وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ

Maksudnya: Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau."Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan

(Surah al-Isra’: 27)

Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas R.anhuma berkata: Tabzir atau pembaziran adalah menginfaqkan sesuatu bukan pada jalan yang sebenar. Qatadah pula berpendapat yang dinamakan pembaziran adalah mengeluarkan nafkah dalam bentuk maksiat kepada Allah, pada jalan yang salah dan pada jalan untuk berbuat kerosakkan. [Lihat Tafsir Ibn Kathir 8/474-475]

Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW daripada al-Mughirah bin Syu’bah, Rasulullah SAW bersabda

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الأُمَّهَاتِ، وَمَنْعًا وَهَاتِ، وَوَأْدَ البَنَاتِ، وَكَرِهَ لَكُمْ: قِيلَ وَقَالَ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ، وَإِضَاعَةَ المَالِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka Ibu bapa, membunuh anak perempuan, menegah daripada banyak kerenah, benci bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta.

Riwayat Bukhari (5975) dan Muslim (593)

Di sini jelas menunjukkan pembaziran harta kerana membeli mercun yang tidak bermanfaat bahkan memudaratkan. Imam Ibn Hazm dalam kitabnya Al-Muhalla (7/503) menyebut pemborosan dan pembaziran adalah haram. Antara maksud pemborosan ialah:

Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah sama ada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
Pembaziran yang tidak ada keperluan dan tidak diperlukan.
Membazirkan wang walaupun dalam jumlah yang kecil tanpa tujuan adalah sia-sia.

Keempat: Wajib Menghormati Jiran Dan Tetangga


Rasulullah SAW pernah bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.

Riwayat Bukhari (6475) dan Muslim (47)

 Dengan bermain mercuk kadang-kala menggangu jiran tetangga yang sepatutnya kita hormati hak dan privasi mereka.



Kelima: Menyusahkan Ramai Orang


Dengan sebab bermain mercun yang kadang-kadang membawa kepada kecederaan atau kerosakkan aharta benda seperti terbakar dan lain-lain sudah tentu akan menyusahkan orang ramai dan banyak pihak antaranya:

Keluarga sendiri
Jiran tetangga
Masyarakat sekeliling
Orang ramai
Rasulullah SAW bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: Orang Islam itu adalah orang Islam yang lain selamat dari lidah dan tanganya.

Riwayat Bukhari (10) dan Muslim (41)

Ibn Battal Rahimahullah berkata: Maksud dengan hadis ini adalah dorongan agar seorang Islam tidak menyakiti orang Islam yang lain dengan lisan, tangan dan seluruh bentuk yang membawa kepada menyakiti orang lain. [Lihat Syarah Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 1/38]



Keenam: Pencemaran Bunyi


Ini kerana dentuman mercun terkadag-kadang melahirkan gempa sehingga menyebabkan sebahagian orang terkejut, terperanjat dan tersentak disebabkan oleh bunyi tersebut. Kanak-kanak yang sedang tidur akan merengek dan menangis. Begitu juga imam dan makmum yang sedang asyik solat terawih dan berqiyam boleh jadi tersasul dan terkejut dengan bunyi yang kuat itu.

sumber:
http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/1807-mercun-budaya-bahaya


Post a Comment

0 Comments