Benarkah Kes Altantuya Akan Dibuka Semula?

susulan pertemuan bapa Altantuya, Dr Setev Shaariibuu dengan Perdana Menteri baru-baru ini


Dr M setuju kes Altantuya dibuka semula


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad setuju bahawa siasatan berhubung kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Ramkarpal Singh selepas mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Ramkarpal bersama bapa Altantuya, Dr Setev Shaariibuu bertemu dengan Perdana Menteri bagi memaklumkan status terbaru berkenaan siasatan kes pembunuhan itu.

Bercakap kepada media, Ramkarpal berkata, Perdana Menteri menegaskan supaya kes berkenaan disiasat berlandaskan lunas undang-undang yang diamalkan di negara ini.

"Pertemuan itu cukup bermakna dan kami turut memberi taklimat kepada beliau (Perdana Menteri) mengenai status terbaru siasatan kes itu.

"Kami berpendirian bahawa satu siasatan lanjut perlu dibuat dalam kes ini dan percaya ada orang lain yang mengarahkan pembunuhan itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menetapkan tempoh untuk siasatan kes berkenaan, namun menjangkakan ia dapat dilakukan dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Menurutnya, beliau sedar bahawa siasatan kes berkenaan sudah ditutup dan kes sudah selesai, namun pihaknya pasti polis sudah mengetahui identiti individu yang mengarahkan pembunuhan itu.

"Siapa yang mengarahkan (pembunuhan) itu adalah orang yang paling bertanggungjawab dalam kes ini dan dia perlu dihadap ke muka pengadilan.

"Orang yang arahkan pembunuhan ini boleh dikenakan sabitan mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan, sekiranya cukup bukti. Orang yang mengarahkan ini sama juga kesalahan seperti orang yang diarahkan untuk melakukan pembunuhan itu," katanya.

Katanya, kes berkenaan tidak akan berlaku sekiranya tiada arahan dari orang tertentu, justeru, siasatan baharu itu akan mendedahkan individu yang memberikan arahan itu.

"Saya tidak boleh dedahkan suspek berkenaan, biar siasatan menentukannya. Ada kemungkinan identiti (orang yang mengarahkan pembunuhan) sudah diketahui.

"Pada pendapat saya, polis sudah mengetahui identiti orang yang mengarahkan pembunuhan ini dan perkara ini penting kerana ia terlepas daripada siasatan dahulu, cuma saya tidak tahu sama ada ia (arahan) dari seorang atau lebih," katanya.

Sementara itu, Dr Setev berkata, beliau berpuas hati dengan pertemuan itu yang disifatkannya seperti perjumpaan 'bapa dengan bapa'.

"Saya berharap keadilan dapat ditegakkan dalam kes pembunuhan anak saya," katanya

Sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/06/439735/dr-m-setuju-kes-altantuya-dibuka-semula

Post a Comment

0 Comments