Hujah mereka, Utusan masih berada dalam kepompong sendiri ketika kononnya Malaysia kini sudah memasuki era baharu berikutan kejayaan Pakatan Harapan menjadi kerajaan
.
ADALAH sesuatu yang aneh apabila agensi berita Bernama melaporkan kenyataan dua bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar dan Tan Sri Zainuddin Maidin yang membidas laporan Utusan Malaysia berhubung isu pelantikan Peguam Negara.
Hujah mereka, Utusan masih berada dalam kepompong sendiri ketika kononnya Malaysia kini sudah memasuki era baharu berikutan kejayaan Pakatan Harapan menjadi kerajaan
Menuduh Utusan Malaysia mengamalkan sikap rasis dalam memperkatakan isu tersebut sehingga boleh membahayakan Malaysia yang merupakan negara berbilang kaum, boleh dianggap keterlaluan.
Ia memandangkan pandangan pelbagai pihak berhubung pelantikan itu termasuk yang mempersoalkannya bukan disiarkan oleh Utusan Malaysia sahaja bahkan juga oleh media lain.
Soalnya,kenapakah Utusan Malaysia sahaja menjadi sasaran? Apakah agenda kedua-dua tokoh wartawan berkenaan?
Bukankah sekarang zaman kebebasan media yang mana pelbagai pendapat boleh disiarkan asalkan ia berdasarkan kepada fakta dan hujah?
Apakah oleh kerana kita berada di alam Malaysia baharu maka soal kepentingan Islam dan orang Melayu sudah dianggap tidak relevan lagi untuk dibicarakan?
Bagaimana pula dengan portal berita dan akhbar tertentu yang sebelum ini turut dilihat rasis dalam laporan mereka? Kenapa mereka tidak dibidas atau dkritik apatah lagi dituduh rasis seperti mana dialami oleh Utusan?
Mungkin ramai sudah lupa asas penubuhan dan perjuangan Utusan. Melangkah ke era baharu yang begitu hebat dicanangkan tidak bermakna Utusan perlu berundur meninggalkan perjuangannya demi membela orang Melayu dan Islam serta menghormati kepentingan kaum lain.
Sememangnya perjuangan tersebut akan diteruskan kerana ia bersesuaian dengan sikap terbuka kerajaan hari ini.
Namun begitu perjuangan tersebut akan dilakukan secara berhemah dan rasional bukannya seperti mana tulisan-tulisan dalam laman sosial seperti Twitter yang menyerang Utusan penuh emosi dan dangkal.
Seperkara lagi perlu difahami, bertukar kerajaan bukan bermakna jati diri sebuah media itu perlu dikorbankan.
Akhbar perjuangan seperti Utusan Malaysia tidak akan berbuat demikian, sementara laporan berkaitan kerajaan dilakukan dengan meluas, pandangan-pandangan yang kritis perlu disalurkan demi kepentingan rakyat dan negara.
Itu juga yang dilakukan Utusan dalam menyiarkan laporan berkaitan pelantikan peguam negara. Pandangan tokoh pelbagai kaum dan agama diberi ruang untuk penilaian pembaca.
Laporan dibuat sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan perkauman sebaliknya hanya memaparkan pandangan pihak yang mungkin dianggap tidak selari dengan kerajaan.
Utusan hanya menyiarkan bertepatan dengan agenda kebebasan bersuara kerajaan hari ini dan apabila keputusan sudah dibuat sudah pasti kita akan menghormatinya.
Kesimpulannya diharapkan tiada lagi mana-mana pihak yang akan menuduh Utusan rasis sebaliknya sedarlah realiti kita kini berada dalam era baru kebebasan media. Ia akan diamalkan dengan penuh tanggungjawab.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/benarkah-laporan-utusan-rasis-1.686228#ixzz5V3pvYlTH
© Utusan Melayu (M) Bhd
.
0 Comments