Benarkah Pemansuhan Tol Akan Rugikan Rakyat?

Jalan merupakan satu keperluan bagi membolehkan rakyat bergerak ...


Perlukah mansuh tol lebuh raya?



ISU tol lebuh raya telah menjadi salah satu manifesto kerajaan Pakatan Harapan. Maka timbulnya keperluan pemansuhan tol lebuh raya.

Pemansuhan tol adalah baik jika tidak melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi dalam mengekalkan kualiti lebuh raya. Ini disebabkan dengan memansuhkan tol semata-mata tanpa mencari jalan penyelesaian masalah penyelenggaraan adalah usaha yang sia-sia.


Jika dilihat kembali zaman Tunku Abdul Rahman, Jambatan Sultan Ismail di Muar, Jambatan Peserai di Batu Pahat dan Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu dikenakan tol.

Ini disebabkan pada masa itu kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang amat besar bagi menyiapkan rangkaian jalan raya asas negara, sedangkan sumber kewangan negara pada masa itu amat terhad.

Namun, pada zaman Tun Abdul Razak, kerajaan sudah mampu membiayai infrastruktur seumpamanya tanpa perlu mengutip tol.

Tun Abdul Razak turut membina Lebuh Raya Persekutuan sebagai lebuh raya ekspres capaian terkawal pertama di Malaysia hasil naik taraf Jalan Kuala Lumpur-Klang sedia ada sebagai lebuh raya percuma tanpa tol, tetapi dibiayai secara berhutang kepada Bank Dunia.

Disebabkan kos terlalu tinggi, maka beliau memutuskan untuk membina Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban yang juga dibiayai dana pinjaman daripada Bank Dunia sebagai lebuh raya bertol.

Pada zaman Tun Hussein Onn pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan sebagai lebuh raya bertol disebabkan kosnya yang amat tinggi dan tidak tertanggung oleh kerajaan sekiranya kutipan tol tidak dilaksanakan terpaksa ditangguhkan.

Ini disebabkan tiada satu pun pihak swasta yang sudi menerima tawaran kerajaan untuk membinanya kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa itu serta tiada jaminan daripada kerajaan untuk melindungi mereka daripada kerugian sekiranya kadar tol tidak dinaikkan secara berkala.

Situasi ini akhirnya diselesaikan dengan perjanjian konsesi tol Plus dalam zaman Tun Dr Mahathir.

Lebuh Raya Utara-Selatan atau Plus merupakan lebuh raya ekspres capaian terkawal iaitu dibina dengan piawaian kejuruteraan jalan raya yang tertinggi, direka bentuk dengan had laju reka bentuk tertinggi 120 km per jam dan dengan piawaian geometri yang tertinggi.

Ini melibatkan banyak kerja tarahan, penambakan benteng dan pembinaan struktur jambatan, jejambat serta terowong.

Tujuannya bagi membolehkan had laju operasi sehingga 110 km per jam, maka semua akses ke rumah-rumah, kedai-kedai, bangunan, kebun, ladang, tanah orang dan premis hartanah disekat sepenuhnya melalui pemasangan pagar di sepanjang laluannya.

Manakala, lebuh raya kembar capaian terhad adalah jalan raya yang lebih bawah kualiti daripada lebuh raya ekspres capaian terkawal. Walaupun begitu, lebuh raya kembar capaian terhad masih mempunyai persamaan dengan kelebaran jalan seperti lebuh raya ekspres, tetapi masih boleh dibenarkan akses ke jalan masuk kecil yang dihubungkan dengannya dan boleh ada banyak persimpangan searas.

Contohnya, Lebuh Raya Grik-Baling dan Lebuh Raya Pasir Putih-Jeli. Akibatnya, had laju lebuh raya ini adalah 90 km per jam dan bukannya 110km per jam kerana perbezaan kualiti gred jalan.

Lebuh raya ekspres capaian terkawal sememangnya tidak bersifat marhaen kerana disasarkan kepada lalu-lintas luar sepenuhnya dan dikhususkan hanya untuk kenderaan bermotor.

Jalan persekutuan merupakan satu keperluan bagi membolehkan rakyat bergerak dari titik ke  satu titik, manakala lebuh raya ekspres pula bukan keperluan tetapi kehendak atau infrastruktur premium kerana memenuhi kehendak pengguna jalan raya yang inginkan laluan berkelajuan tinggi yang selesa untuk sampai ke titik destinasi dengan lebih cepat.

Maka, tanggungjawab kerajaan ialah untuk membina jalan raya asas untuk membolehkan rakyat bergerak untuk mencari rezeki ataupun urusan mustahak lain. Tambahan pula, pelaksanaan Dasar Laluan Alternatif yang mana jalan persekutuan sepatutnya menjadi pilihan laluan utama untuk urusan harian, manakala lebuh raya ekspres pula sepatutnya merupakan laluan premium berbayar.

Kalau sudah nama pun laluan premium, sudah tentulah ia berbayar dan tidak percuma, sesuai dengan fungsi dan servis yang diberikan.

Sebarang pemansuhan ke atas tol lebuh raya bergred premium akan menyebabkan penambahan kewangan kerajaan dalam penyelenggaraan jalan berkualiti untuk rakyat.

Situasi ini sebenarnya merugikan rakyat dalam jangka panjang disebabkan peruntukan yang boleh digunakan untuk pembinaan lebih banyak lebuh raya berkembar capaian terhad terpaksa digunakan untuk pengekalan lebuh raya bergred premium. Seterusnya menambahkan bebanan hutang negara pada masa ini.

Sumber:

Post a Comment

0 Comments