Benarkah Tindakan JAWI Ke Atas Mustafa Akyol Tidak Wajar?

... isu Mustafa Akyol adalah rentetan dari gerakan liberalisme yang bergerak secara sangat sistematik dan nampak sangat hebat di negara ini pada masa kini.

Benarkah tindakan JAWI ke atas Mustafa Akyol tidak wajar?


Pada tahun 2017, media galak memainkan isu seorang penulis berketurunan Turki, Mustafa Akyol yang ditahan di KLIA oleh pihak imegresen atas arahan pihak polis, sebelum disoal siasat oleh Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI). Beliau dijadualkan berucap di dalam sebuah program anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) di Nottingham University of Kuala Lumpur. Tetapi akhirnya program tersebut terpaksa dibatalkan atas saranan JAWI.

Mustafa Akyol dipanggil untuk disoal siasat oleh JAWI atas tuduhan dibawah Seksyen 11 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah 2001, kerana mengajar agama tanpa tauliah daripada pihak berkuasa agama Islam itu. JAWI turut memanggil Dr Farouk Musa, Pengarah IRF yang didakwa melanggar Seksyen 43 akta sama kerana “bersubahat” dengan Akyol.

Walaupun beliau kini telahpun dibebaskan dan meninggalkan negara ini, namun masih ramai pihak mempertikaikan kewajaran tindakan pihak berkuasa agama Islam itu. Kebanyakan pengkritik menuduh kerajaan Malaysia sebagai tidak demokratik kerana menyekat kebebasan individu untuk berucap di negara ini.

Jika kita melihat secara global, sebenarnya tindakan terhadap Mustafa Akyol tidak bertentangan dengan praktis di negara-negara lain. Malah, adalah perkara yang wajar bagi semua negara untuk menyekat sebarang unsur yang boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian masyarakat.

Pada tahun 2008, Dr Yusof al-Qardawi tidak dibenarkan masuk ke United Kingdom atas alasan mengancam keselamatan masyarakat. Beliau sebelum ini juga telah dihalang daripada memasuki negara Amerika Syarikat. Padahal jika diikuti pemikiran Dr al-Qardawi, beliau antara yang ulama Islam paling sederhana dan turut mengiktiraf amalan demokrasi, selain mengutuk keganasan yang dilakukan oleh sesetengah pihak atas nama Islam.

Sebelum itu lagi, pada tahun 2004, Dr Tariq Ramadan juga tidak dibenarkan memasuki Amerika Syarikat atas beberapa alasan termasuk melanggar Akta Patroit negara itu. Menariknya, beliau dikenali sebagai sarjana Islam yang cukup liberal dan pernah mencetuskan berbagai kontroversi yang menaikkan kemarahan umat Islam atas pandangan liberalnya.

Negara yang menyekat tokoh-tokoh ini bukan negara biasa. Ia adalah negara kuasa dunia yang dikenali sebagai negara contoh pengamal demokrasi dunia hari ini. Justeru menghalang penceramah dan penulis kontroversi seperti Mustafa Akyol tidak ada apa yang menghairankan. Selain dari pemikirannya bertentangan dengan pegangan dan pengamalan Islam di Malaysia, Mustafa juga turut menimbulkan masalah di negara beliau sendiri apabila sering mengkritik kepimpinan Recep Tayip Erdogan. Beliau menyokong gerakan Gulen yang cuba menggulingkan kerajaan Erdogan dalam peristiwa cubaan merampas kuasa oleh tentera pada 15 Julai 2016.

Mustafa Akyol dianggap mencetuskan ketidakstabilan masyarakat kerana membawa pemikiran yang tidak selari dengan pegangan dan pengamalam umat Islam di Malaysia. Beliau ketika ditemuramah mengakui bahawa dirinya seorang muslim yang liberal. Beliau mempertikaikan berbagai disiplin ilmu daripada ajaran Islam termasuk menyarankan agar al-Quran ditafsir semula. Selain itu, beliau turut mendakwa bahawa pihak berkuasa tidak berhak mengambil tindakan terhadap dosa peribadi penganutnya seperti minum arak ataupun zina. Apabila dilihat secara kasar, isu Mustafa Akyol adalah rentetan dari gerakan liberalisme yang bergerak secara sangat sistematik dan nampak sangat hebat di negara ini pada masa kini.

... ketika ditemuramah mengakui bahawa dirinya seorang muslim yang liberal.

 ... mempertikaikan berbagai disiplin ilmu daripada ajaran Islam termasuk menyarankan agar al-Quran ditafsir semula.

 ... mendakwa bahawa pihak berkuasa tidak berhak mengambil tindakan terhadap dosa peribadi penganutnya seperti minum arak ataupun zina.




Sumber:
http://www.malaysia-today.net/2017/10/10/%E2%81%A0%E2%81%A0%E2%81%A0apa-masalahnya-tindakan-terhadap-mustafa-akyol/

Post a Comment

0 Comments