Benarkah Tun M Pelakon Pelbagai Watak?

Dari mula menceburi politik pada 1945, beliau mencetuskan terlalu banyak kejutan.

Lakonan Tun M beri impak berkesan

BANYAK daripada apa yang berlaku di negara ini boleh dijadikan cerita yang sangat menarik di layar perak.

Sebahagian daripada kisah-kisah itu - pembaca budiman fikirlah sendiri - boleh capai tahap pecah panggung.


Tetapi apabila Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menjadi Perdana Menteri 10 Mei lalu, saya memberitahu kawan-kawan, kalau dibuat filem, ia pasti jadi filem legenda terbaik sepanjang zaman.

Apa lagi yang boleh anda bayangkan sekiranya seorang bekas perdana menteri kembali ke arena politik selepas ‘berehat’ selama 15 tahun, merempuh segala ranjau dan duri hingga berjaya menjadi perdana menteri buat kali kedua pada usia 93 tahun?

Rupa-rupanya apa yang saya sembang-sembang dengan kawan-kawan sudah pun berada di bawah radar penerbit filem Bollywood yang berura-ura menghasilkan filem “Mahathir Penyelamat Malaysia”.

Produser filem, Raman Kumar, 73, berkata, filem itu akan tumpu kepada intrik politik dan bagaimana Dr Mahathir menggunakan akal budi, kebijaksanaan dan pengalaman 22 tahun sebagai perdana menteri (1981 - 2003) untuk berkempen atas platform anti-rasuah.

“Beliau memang memiliki kekuatan, keinginan dan ketabahan yang mengagumkan,” Raman, yang telah menghasilkan 10 filem, lima di Malaysia, memberitahu Bernama, baru-baru ini.

Dengar cerita, Shah Rukh Khan akan dipilih melakonkan watak Dr Mahathir.

Baguslah, beliau pun pernah mengakui kagum dengan cara dan falsafah Dr Mahathir membangunkan Malaysia serta menjadikan Dr Mahathir mentor dan inspirasi.

Tetapi apa kata kalau kita pujuk Dr Mahathir tampil dalam filem itu. Penampilan beliau dalam Kapsul tiga tahun lalu dan dalam rakaman video durasi pendek sebelum PRU14 9 Mei lalu, memberi impak kepada penonton.

“Saya ingin menceritakan kisah kegigihan mengubah Malaysia selepas enam dekad dan kesukaran dan cara rakyat Malaysia begitu merasakan momen pembangkang (ketika itu) menang (PRU14),” kata Raman.

Dr Mahathir menerajui Pakatan Harapan hingga berjaya meranapkan Umno yang berusia 72 tahun itu dalam keadaan yang ramai susah mempercayainya.

Proses pembikinan filem berbahasa Hindi itu melibatkan banyak penyelidikan dan Raman mendapatkan seorang penulis skrip rakyat Malaysia yang memahami politik Malaysia dengan baik.

Raman, yang tinggal di United Kingdom, Mumbai di India dan juga Malaysia berkata, filem itu akan menampilkan pelakon Malaysia dan sebahagian daripada krunya dari Mumbai.

Sebenarnya setiap detik dalam kehidupan Dr Mahathir menarik jika difilemkan.

Dari mula menceburi politik pada 1945, beliau mencetuskan terlalu banyak kejutan.

Berikutan peristiwa 13 Mei 1969, beliau dipecat dari Umno selepas pengedaran suratnya mengkritik kerajaan.

Dilema Melayu, buku kontroversi beliau yang mendedahkan perwatakan orang Melayu diharamkan pada 1970 tetapi ditarik balik selepas beliau menjadi Perdana Menteri keempat 18 tahun kemudian.

Selepas menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, Dr Mahathir memperkenalkan budaya menghargai masa melalui penggunaan perakam waktu bagi kakitangan kerajaan (September 1981).

Tiga bulan kemudian, pada 31 Disember, beliau mencipta kejutan besar dengan mempercepatkan waktu.

Pada jam 11.30 malam berjuta-juta rakyat menyaksikan jam di menara Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, dipercepatkan 30 minit.

Banyak isu kontroversi semasa pentadbiran pertamanya selama 22 tahun. Antaranya, pindaan Perlembagaan melibatkan raja-raja, pemecatan timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengambilalihan Guthrie di London, pengharaman Umno, Operasi Lalang yang libatkan 106 orang ditahan di bawah ISA dan pengumuman peletakan jawatan No 1 secara tiba-tiba; semuanya mengejutkan dunia.

Dalam usia yang hampir 93 tahun dan selepas dua kali pembedahan jantung, Dr Mahathir kembali mencipta kejutan.

Beliau bekerjasama dengan musuh-musuh ketatnya, termasuk Anwar dan Lim Kit Siang, dan bersama-sama berjaya menumbangkan BN/Umno di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ramai yang luahkan rasa kasihan kepada Dr Mahathir sebab berhadapan dengan banyak ujian dan cabaran, tetapi ramai lupa cabaran adalah rencah dalam kehidupan beliau.

Musuh-musuhnya menganggap Dr Mahathir sebagai suka berlakon, bersandiwara, buat u-turn, nyanyuk, pelupa dan sudah terlalu tua untuk aktif dalam politik.

Bahkan, ada yang melabelkan beliau dengan pelbagai ‘maha’, yang sindir beliau sangat lemah hingga tak mampu pecahkan kaca, yang cadang beliau habiskan sisa-sisa hidup berzikir di masjid atau jadi doktor di Klinik 1Malaysia.

Ada yang menganggap tidak masuk akal Dr Mahathir akan dipilih menjadi perdana menteri pada usia yang begitu lanjut.

Saya cuma mahu ambil apa yang berlaku sebagai iktibar.

Akan selalu saya ingat rupa-rupanya bahaya kalau lepaskan tembakan membabi-buta kerana silap-silap terburai isi perut sendiri. Wallahuaklam!

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/farush-khan/lakonan-tun-m-beri-impak-berkesan-1.843026

Post a Comment

0 Comments