Benarkah KLIA makin suram?

Adakalanya, pengunjung merasakan pendingin hawa di KLIA juga seperti tidak berfungsi. Mungkin pihak pengurusan KLIA mahu menjimatkan kos elektrik kerana mendapati ketika itu orang berkurangan.


.
SAUDARA PENGARANG, SAYA kerap membuat perjalanan menggunakan kapal terbang, boleh dikatakan sebulan sekali. Adakalanya saya menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan juga KLIA2.

Namun, saya dapati amat berbeza sekali suasana antara dua lapangan terbang ini. Satu ketika dahulu KLIA begitu ‘hebat’ dan membanggakan bukan sahaja bagi rakyat Malaysia, malah pelancong asing. KLIA ketika itu antara binaan paling membanggakan berbanding lapangan terbang di Jepun, Singapura dan sebagainya.


Setelah wujud KLIA2, nampaknya KLIA secara perlahan-lahan mula ketinggalan. Apa tidaknya, KLIA2 lebih banyak aktiviti ekonominya dengan pengunjung yang bukan sahaja menaiki pesawat malah ramai juga berkunjung ke situ semata-mata mahu menikmati makanan enak atau membeli-belah.

Dengan kata lain, banyaknya kios atau kedai mahupun restoran di KLIA2 menjadikan aktiviti ekonomi di situ bergerak pantas dan mendatang hasil. Inilah yang kita mahu dan kerajaan patut melihat keberkesanannya.

Bagi KLIA pula agak berbeza. Hanya pada waktu tertentu sahaja pengunjung ramai terutamanya waktu puncak pelepasan dan ketibaan. Tetapi, kebanyakan waktu di KLIA didapati agak suram dan muram.

Adakalanya, pengunjung merasakan pendingin hawa di KLIA juga seperti tidak berfungsi. Mungkin pihak pengurusan KLIA mahu menjimatkan kos elektrik kerana mendapati ketika itu orang berkurangan.

Aktiviti orang ramai dan ekonomi di KLIA2 pula berjalan 24 jam setiap hari tetapi perlu ada kawalan kerana ramai juga yang suka tidur merata tempat sehingga lapangan terbang itu seperti kurang terurus. Jika hendak tidur sementara menunggu penerbangan sekalipun, perlulah lebih teratur.

Bagi saya, sebagai lapangan terbang utama, KLIA perlulah dinaik taraf serta diberikan nafas baharu.

PENGGUNA SETIA 
LAPANGAN TERBANG

Sabah


.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/forum/benarkah-klia-makin-suram-1.759440#ixzz5V3noZvDv
.

Post a Comment

0 Comments