Pernahkah anda bertanya siapakah pencipta teknologi Email dan kenapa beliau gunakan tanda "@"?
Pada awalnya, Raymond Tomlinson, atau Ray, ditugaskan untuk membangunkan perisian yang boleh digunakan oleh Rangkaian ARPANET iaitu sebuah projek penyelidikan Amerika Syarikat yang termaju pada ketika itu.
Beliau tertarik dengan satu aplikasi bernama SNDMSG (mungkin singkatan kepada SEND MESSAGE) yang membolehkan pengguna yang berkongsi komputer yang sama menujukan mesej sesama mereka. Beliau terfikir alangkah bagusnya jika mesej ini boleh dihantar kepada pengguna di komputer yang lain.
Kebetulan Ray juga terlibat membangunkan perisian eksperimen untuk memindahkan fail dari satu komputer ke komputer yang lain bernama CPYNET (mungkin singkatan kepada COPY TO NETWORK).
Secara diam-diam Ray cuba menggabungkan fungsi kedua-dua perisian lalu terhasillah aplikasi Email pertama yang membolehkan pengguna yang berada di sesebuah komputer menghantar mesej kepada pangguna yang berada di komputer lain.
Untuk membolehkan mesej dihantar kepada penerima yang betul, Ray perlu menyediakan format alamat yang mengandungi nama penerima dan nama komputer. Ray meletakkan simbol "@" sebagai pemisah di antara nama penerima dan nama komputer hos. Simbol "@" dipilih kerana pada ketika itu ia masih belum digunakan dengan meluas di dalam dunia pengaturcaraan dan pembangunan sistem.
Oleh kerana percubaan ini dilakukan secara suka-suka tanpa pengetahuan syarikatnya, Ray pernah berpesan kepada rakannya "Don't tell anyone! This isn't what we're supposed to be working on" (Jangan beritahu sesiapa, ini bukan kerja yang sepatutnya kita lakukan). Ray tidak pernah terfikir Email akan menjadi teknologi yang merevolusikan dunia komunikasi di kemudian hari. Dia juga langsung terlupa perkataan yang telah dihantar dalam percubaan pertamanya. Ia boleh jadi "QWERTYUIOP".
Moral: Jadikan kerja rutin anda sesuatu yang menarik dengan meneroka peluang yang ada padanya. Siapa tahu anda bakal menukarkan perkara yang BIASA kepada LUARBIASA.
Sumber:
1. https://en.wikipedia.org/wiki/Ray_Tomlinson
2. https://www.nytimes.com/2016/03/08/technology/raymond-tomlinson-email-obituary.html
3. https://www.lifewire.com/first-email-message-1164184