Benarkah Kurikulum UEC Tidak Selari Dengan Dasar Pendidikan Negara?



Tak iktiraf UEC selagi bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi sedia mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan syarat ia selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata mengikut dasar itu, sistem penilaian UEC perlu dijalankan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Beliau berkata, mata pelajaran Bahasa Melayu dalam UEC juga perlu setara dengan mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Di samping itu, liputan kandungan subjek sejarah negara dalam kurikulum UEC juga perlu selari dengan sejarah negara.

"Kurikulum sijil itu masih tidak selari dengan kurikulum kebangsaan seperti yang dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1996.

"Kementerian berpendirian Sijil UEC hanya boleh digunakan untuk kemasukan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) sahaja.

"Kemasukan ke universiti awam (UA), Kolej Tuanku Abdul Rahman (KTAR) dan program IPTS yang difrancaiskan daripada UA tidak layak menggunakan sijil UEC," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika menggulung titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Isu berkaitan UEC dibangkitkan Datuk Tiong Thai King (BN-Lanang), Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Jimmy Wong Sze Phin (DAP-Kota Kinabalu), Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) dan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh).

Sumber:

https://www.bharian.com.my/node/263001

Post a Comment

0 Comments